CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 11

Tanpa pengetahuan Jurina, sebenarnya Tom melawat tubuhnya setiap hari ketika Jurina sedang tidur. Dapat dia melihat, wanita yang dilihatnya hari itu setia menunggu tubuhnya setiap hari. Pernah dia cuba untuk masuk semula ke dalam tubuhnya namun tidak berjaya. Mereka masih terpisah. Dia hanya akan pulang apabila waktu hampir pagi untuk mengelakkan Jurina mencarinya apabila dia membuka mata. Tom memerhatikan Jurina yang sedang nyenyak tidur. Malam ini dia tidak merasa mahu pergi ke hospital untuk menjenguk tubuhnya. Lama dia merenung wajah Jurina. Kemudian dia bangun dan berdiri di hadapan tingkap.
”Good morning..” Tanpa sedar, sehingga ke pagi dia berdiri di situ. Jurina menggeliatkan badan dan masih bermalas-malas di atas katil. Tom menoleh.
”Morning princess...” Jurina tersenyum.
”Tom buat apa berdiri kat tepi tingkap tu?” Tanya Jurina dengan suara yang masih serak-serak. Tom hanya menggeleng sambil tersenyum.
”Dah, bangun. Pergi sembahyang.” Jurina pun bangkit dari katil dan menuju ke bilik air apabila mendengar arahan Tom. Hatinya bahagia apabila dapat melihat lagi wajah Tom pagi ini. Seperti biasa, Tom menyiapkan sarapan untuk Jurina dan sibuk memasak di dapur. Sementara itu dihospital....
”Saya harap Encik Akram dan Puan Maria dapat bertenang dan dapat menerima takdir ini seadanya. Kita akan hentikan mesin hayat anak Puan tepat pukul lapan pagi.” Kata-kata doktor itu membuatkan Puan Maria menangis tersedu-sedu. Berat hatinya mahu melepaskan anak kesayangannya pergi begitu sahaja dan di depan matanya. Mahu sahaja dia menarik semula persetujuan yang telah ditandatanganinya semalam. Encik Akram mengusap-usap bahu Puan Maria untuk menenangkannya walaupun hatinya sendiri dipagut sendu. Dia sendiri tidak tegar melihat anaknya mati di hadapan mereka. Mereka ibu bapanya, sepatutnya mereka pergi dahulu daripada anak mereka itu. Ini tidak, sebaliknya anak mereka mati di tangan mereka. Namun apakan daya, dari menyeksanya baiklah merelakan sahaja pemergiannya. Keluarga mana yang tegar melepaskan pemergiaan anak mereka sendiri.
”Ya tak sanggup bang.. Akhil nak pergi tinggalkan kita.” Puan Maria menangis teresak-esak di bahu suaminya.
”Kita kena redhakan pemergiaannya Ya.. Dah lama dia menderita sebab kita tak benarkan dia pergi. Biarlah, kalau betul dah sampai ajal dia, kita sebagai ibu bapa kena relakan. Biar dia tenang kat sana. Jangan macam ni sayang.. Kita kena fikirkan keadaan Akhil juga. Walaupun kita sayangkan dia sepenuh jiwa pun tapi kita tak patut menyeksa dia. Setahun kita tunggu, nampaknya memang tak ada harapan. Kita lepaskan dia ye..” Air mata Encik Akram turut mengalir. Dia sendiri tak dapat menahan kesedihan di hatinya.
”Ya sayang dia bang..”
”Abang pun.. kita doakan yang terbaik untuk dia ye, sayang...” Akhirnya Puan Maria mengangguk apabila dipujuk suaminya itu. Jam hampir menunjukkan pukul lapan pagi. Hati mereka berdua berdegup kencang. Sudah sampai masanya mereka menyaksikan pemergian anak kesayangan mereka itu. Doktor melakukan beberapa prosedur terlebih dahulu. Mereka berdua memerhatikan dengan penuh debaran. Air mata keduanya sudah berjuraian. Puan Maria memanggil nama Akhil beberapa kali.
”Akhillll....Akhil anak ibu... Akhil anak ibu..” Rintih Puan Maria beberapa kali.
Tom yang sedang meletakkan sarapan untuk Jurina di atas meja terasa seperti seseorang memanggilnya. Tom dapat merasakan sesuatu. Belum sempat dia hendak berlalu, Jurina muncul dengan wajah ceria.
”Sedapnya, dari atas dah bau.” Jurina terus mencapai pinggannya dan makan dengan berselera. Tom pula masih tercegat di situ. Hatinya seperti ditarik-tarik ke sesuatu tempat.
”Jerry, kejap ye. Tom ada benda nak kena buat.”
”Ok!” Ujar Jurina tanpa rasa sangsi. Tom terus menghilangkan diri dan menuju ke tempat namanya di seru.
”Akhilll...” Tom melihat wanita itu menangis sambil dipeluk oleh seorang lelaki. Dia melihat pula pada tubuhnya. Doktor dan beberapa orang nurse seperti mahu memutuskan mesin hayat yang disambungkan ke tubuhnya. Tom menjerit....
”Jangannnnnnnnnnnnnnnnnn................” Serentak dengan itu, mesin tersebut telah dimatikan oleh doktor. Tom terasa tubuhnya ditarik masuk.
”Arggggghhhh....” Akhil menjerit kuat dengan mata terbeliak dan bangun dari pembaringannya setelah setahun dia berada di dalam keadaan koma. Kemudian dia terbaring semula. Semua yang ada di situ juga turut terkejut dengan tindakbalas dari Akhil setelah mesin hayatnya dimatikan. Doktor dan nurse cepat-cepat memeriksa keadaan Akhil. Keajaiban terjadi dan Akhil hidup semula. Ibu dan bapanya masih tercengang dan terkejut dengan kejutan yang mereka terima tadi. Puan Maria mendekati Akhil. Jika tadi dia menangis kerana terlalu sedih, kali ini dia menangis kerana terlalu gembira.
”Tahniah Puan, anak Puan sudah kembali. Kami akan membuat pemeriksaan lanjut sebentar lagi.” Puan Maria dan Encik Akram memandang Akhil seperti tidak percaya. Akhil memandang ibunya.
”Ibu....Ayah..” Puan Maria menangis lagi. Dia mencium dahi dan pipi anaknya berkali-kali. Encik Akram juga memeluk Akhil dengan erat. Air mata mereka sudah bertukar menjadi air mata kegembiraan. Beberapa kali mereka bersyukur ke hadrat illahi kerana telah mengabulkan permintaan mereka.
Sementara itu, setelah merasakan Tom pergi terlalu lama, Jurina memanggilnya beberapa kali.
”Tom!!”
”Tom... Awak kat mana??”
”Tom...” Jurina sudah mula panik setelah beberapa kali Tom tidak menyahut panggilannya. Selalunya dua kali sahaja, Tom sudah menunjukkan muka. Jurina berlari ke tingkat atas. Dia mencari di segenap ruang yang ada. Apabila tiada di atas, dia turun pula dan mencari sehingga ke laman rumah. Juga tiada. Hatinya merasa sakit hati dan sedih. Sakit hati kerana Tom pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan. Sedih kerana Tom benar-benar meninggalkannya.
”Tom...” Jurina memanggil Tom dengan nada sendu. Dia mengusap pipinya yang sudah bergenang dengan air mata dari tadi. Jurina sudah terjelepok di lantai. Di satu sudut, ada seseorang yang sedang menangisi kedatangan semula anaknya dan di satu sudut, ada seseorang menangis kerana kehilangannya.
******           
Setahun kemudian...
Jurina menghadap televisyen sendirian. Di tangannya semangkuk besar ais krim kegemarannya yang selalu disediakan oleh Tom. Dia menonton siri kartun Tom and Jerry dengan linangan air mata. Sepatutnya kartun itu kelakar tapi entah kenapa hatinya langsung tidak digeletek melihat episod kejar mengejar antara Tom dengan Jerry.
”Kenapa Tom tinggalkan Jerry, Tomkan dah janji akan balik semula. Ini dah hampir setahun, tak balik-balik pun. Tom tipu!!” Air mata Jurina mengalir dan masuk ke dalam mangkuk ais krim yang dipegangnya.
”Sekurang-kurangnya, pulangkanlah dulu album dengan kain pelikat tu!” Ngomel Jurina lagi dalam tangisan.
***** 
”Haha...Hahhaaaa.... Bongok punya Tom, asyik kena je dengan Jerry tu. Badan je besar, otak kecik! Jerry!!!!Meh lah tengok Tom and Jerry ni!” Akhil menjerit. Kemudian dia mengerutkan dahi, aku panggil siapa? Lama dia berfikir tapi dia tidak mendapat jawapan. ”Ah..biarlah!” Desis hati kecilnya dan terus menumpukan perhatian semula pada siri kartun itu. Sudah setahun berlalu sejak dia bangun dari koma. Selama setahun itu jugalah dia membuat terapi untuk menguatkan otot-otot tubuhnya supaya dapat berfungsi semula seperti sebelum kemalangan. Selepas dia tersedar dari koma, kakinya langsung tidak dapat digerakkan. Tangannya juga tidak mampu memegang sebarang benda. Berkat kesabaran, akhirnya dia dapat berjalan dan memegang sebarang benda walaupun mengambil masa yang lama. Walaupun dia masih mengingati semua kejadian sebelum kemalangan, namun dia langsung tidak mengingati sebarang kejadian tentang kemalangan yang menimpanya itu. Dan lagi, dia tidak sedar yang sebenarnya, dia juga lupa akan sesuatu yang penting. Dia lupa tentang Jurina yang telah ditinggalkan sendirian. Dia langsung tidak mengingati kejadian yang berlaku semasa dia berada di dalam koma.

***** 
Sudah hampir dua tahun selepas ketiadaan Tom disisinya, kini Jurina sudah menerima hakikat yang Tom sememangnya khayalannya sahaja.
”Ju!!!” Natalia memekik dari seberang jalan memanggilnya Jurina yang baru turun dari keretanya. Jurina menoleh. Dia juga turut merasa teruja melihat kawan karibnya itu sudah pulang. Natalia melambai laju. Jurina turut sama melambai. Natalia memandang ke kiri dan kanan sebelum melintas jalan. Mereka berpelukan.
”Wow..kau dah makin ayu jelita aku tengok sekarang? Apa rahsia? Ada teman baru ke?” Natalia tergelak. Dulu dia sering mengejek dialog iklan tersebut. Baginya, jika semakin cantik, tak semestinya kerana ada teman baru.
”Well! Kau baru tahu ke aku cantik?” Natalia berpura-pura bergaya seperti model kereta. Jurina tergelak kecil. Perasan betullah minah ni.
”Dah. Perasan lebih. Mana mamat Australia yang kau janji nak bawa untuk aku?”
”Excuse me? Bila masa pula aku janji nak bawa mamat Australia untuk kau. Sorry sikit, kalau aku bawa pun confirm-confirmlah untuk aku. Barulah aku boleh menunjuk sikit kat kau.. Haha..”
“Ceh! Tak apa.. tak apa.. Aku tak bawa kau balik! Pergi naik teksi sendiri.” Jurina sengaja berpura-pura merajuk.
”Ala..Ala .. bucuk... Meh, aku nak tunjuk ole-ole untuk kau. Ish..tak sabar ni nak buat suprise untuk parents aku. Eh, cepatlah masuk kereta.” Jurina mencekak pinggang.
”Amboi, siapa yang patut bagi arahan sekarang!” Natalia tersengih.
”Ampunkan saya penunggu gua.. Ampunkan saya penunggu gua...”Natalia sengaja membuat suara Aziz Satar dan Samsudin di dalam cerita Nujum Pak Belalang untuk mengusik Jurina.
”Haha..Kau ni kalau tak buat lawak memang tak sah. Dah, jom balik.” Jurina membantu Natalia memasukkan bagasi ke dalam but kereta.
”Kau ni, naik kapal terbang ke naik lori tadi? Banyak betul barang!”
”Gila wei, aku ni tak tahu lagi bila nak sampai luar negara lagi. Masa nilah aku nak memborong sakan.”
”Aku tahu aku punya ole-ole mesti mahal dan cantik. Kalau setakat fridge magnet, aku tak nak!”
”Amboi, berkira betul. Eii.. Fridge magnet pun kira baik tau. Aku ingat nak belikan kau cincin yang orang buat tikam-tikam tu je tau! Banyak songeh!” Jurina menjelirkan lidah mendengar kata-kata Natalia. Sepanjang perjalanan, mereka berborak pelbagai topik. Terasa tidak habis topik untuk mereka ceritakan sehingga sampai ke rumah Natalia. Seperti yang dirancang, ibu bapa Natalia begitu terkejut sekali melihat kepulangan Natalia yang secara mengejut itu. Ibu Natalia sehingga menangis kerana terlalu gembira. Puas Natalia memujuk ibunya yang sememangnya sensitif itu. Tidak lama, Natalia mula mengeluarkan ole-ole yang dibawanya. Untuk ibunya, dia membelikan seutas gelang opal yang cantik. Untuk bapanya, dia menghadiahkan topi koboi dan baju t-shirt istimewa. Jurina menjerit apabila melihat patung koala dikeluarkan dari beg tarik Natalia. Dia memeluk Natalia gembira kerana sememangnya dia menginginkan patung itu dan setiap kali mereka berhubungan, Jurina tidak lupa memesan Natalia untuk membelikannya patung Koala untuknya. Natalia juga menunjukkan patung yang sama yang dibelikan untuk dirinya sendiri.
Jurina sudah berjanji untuk tidur di rumah Natalia malam ini. Baju juga sudah siap-siap di bawa. Sewaktu Jurina mengeluarkan pakaiannya, begnya dibiarkan terbuka. Natalia yang kebetulan mahu mencari barangnya ternampak buku nota di dalam beg tersebut. Dia mengambilnya dan membelek-belek buku nota itu. Oh, rupanya buku lakaran Jurina. Jurina memang pandai melukis, sejak dari kecil lagi dia memang gemar melukis di mana sahaja. Asal ada kertas dan pensil di tangan sahaja, pasti ada lukisan yang terhasil. Natalia menyelak-nyelak. Mula-mula gambar pemandangan biasa, kemudian banyak sekali potret seorang lelaki yang agak tampan. Natalia pelik, siapa lelaki ini? Sepanjang dia mengenali Jurina, dia mengenali semua lelaki yang dikenali Jurina. Jurina pasti akan menceritakan padanya jika dia mempunyai hati pada seseorang.
Jurina keluar dari bilik air, Natalia menoleh.
”Ju, siapa lelaki ni? Pakwe baru kau ye? Kau tak pernah kenalkan pada aku pun?”
”Tak ada siapa-siapalah!” Jurina buat endah tak endah sahaja pertanyaan Natalia dan terus mencapai sikat.
”Handsome tu Ju, kalau kau tak nak kat dia, kau bagi jelah kat aku, boleh?” Jurina menjeling. Dia mengambil semula buku nota yang dipegang Natalia tadi.
”Tak boleh! Lagipun dia ni bukannya wujud pun.” Jurina menyimpan semula buku nota tersebut ke dalam beg.
”Tipu, kalau tak wujud macam mana kau boleh lukis gambar dia sesempurna itu. Kan..Kan... Hai, sejak bila kau pandai berahsia dari aku ni! Baik kau cerita sekarang!” Natalia menunjukkan jari telunjuknya kepada Jurina.
”Tak ada apa-apa, betul ni.”
”Jangan nak tipu, kalau kau tipu....... aku tarik tuala kau ni!” Berlakulah adegan tarik menarik antara mereka. Mereka bergelak sepuas-puasnya. Lupa sudah persoalan Natalia tadi.
***** 
Malam itu, sebelum tidur mereka berborak lagi. Dari tadi mereka langsung tidak berhenti bercakap. Ada sahaja topik yang diutarakan. Tiba-tiba Natalia teringat lakaran potret yang dilukis Jurina di dalam buku notanya tadi.
”Ju, kau tak cerita lagi siapa lelaki yang kau lukis tu.” Tanya Natalia yang sudah memeluk bantal peluknya. Mereka berbaring terlentang sambil memerhatikan ’glow in the dark’ berbentuk bulan dan bintang yang mereka sama-sama pasang semasa berada di tingkatan lima lagi.
”Kalau aku cerita pun bukan kau percaya pun.”
”Ala, kau ceritalah dulu. Barulah aku tahu nak percaya ke tak. Kenapa kau cakap lelaki tu tak wujud?” Natalia mengiring menghadap Jurina yang mengira bintang-bintang di dinding.
”Kalau aku cerita ni, kau dengar je ok.. Percaya tak percaya lain cerita.” Natalia mengangguk.
“Ok.. Sebenarnya lelaki tu, aku tak tahulah kategori roh ke hantu..” Terbeliak mata Natalia memandang Jurina. Biar betul kawannya seorang ni boleh tengok hantu.
”Kenapa kau cakap macam tu? Kau nampak dia sebagai hantu ke?” Jurina mengangguk.
”Eh kau ni, seram akulah macam ni. Malam-malam ni kau jangan cerita macam-macam pula. Seriau aku macam ni.”
”Tu aku malas nak cerita, belum apa-apa lagi kau dah histeria. Malaslah aku cerita macam ni.” Natalia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
 ”Yelah..yelah... Sambunglah cerita. Aku tak cakap apa-apa lagi.”
”Kau tahu tak, lepas abang aku meninggal. Lepas Auntie Elena dengan Uncle Bad balik, lepas kau pergi sambung belajar, kau tahu tak, aku tertekan sangat. Berminggu jugalah aku tak keluar rumah, diri aku tak terurus, hidup aku tertekan.” Natalia memegang tangan Jurina yang sudah berubah nada.
”Aku minta maaf sebab aku tak ada nak temankan kau masa tu.” Jurina menggelengkan kepala.
”Aku faham, kau janganlah rasa bersalah pula.”
”Lepas tu..”
”Tiba-tiba je lelaki ni muncul untuk sedarkan aku.”
”Ha, dari mana pula dia muncul?” Jurina menggelengkan kepala.
”Aku sendiri pun tak tahu, tapi cuma aku seorang je boleh nampak dia.”
”Entah-entah tu abang kau tak?”
”Aku pun syak juga dia abang aku, tapi bukan.”
”Kenapa kau kata bukan?”
”Entah, perwatakan mereka kalau kita tengok betul-betul, lain sebenarnya. Dia tu pembersih, cermat, suka membebel, teratur. Abang aku mana macam tu. Dua kali lima je dengan aku. Yang paling berbeza sekali, dia pandai masak”
”Hah! Dia masak untuk kau ke? Mak aih, aku pun naklah macam tu. Siap masak, khadam... bagi saya jus tembikai satu!!!” Jurina menepuk tangan Natalia sambil tertawa kecil.
”Aku tak pernah cerita pada sesiapa pasal ni, kau nak percaya ke tak percaya ke itu terpulang. Tapi aku nak beritahu kau, dialah yang tolong aku masa aku tertekan dulu.”
”Habis, mana dia sekarang?” Jurina menggelengkan kepala.
”Entah, lepas setahun kami bersama, dia tiba-tiba je hilang. Puas aku cari dia.”
”Ish...meremang bulu roma aku ni kau tau tak. Macam siri bercakap dengan jin karya Tamar Jalis pula.”
”Kau ingat aku tak fikir macam tu, samalah aku pun.”
”Kau tak takut ke? Aku ni selalu tengok-tengok cerita seramkan, selalunya pendamping ni meniduri teman pendampingnya. Kau ada dara lagi tak ni?”
”Ish! Apa kau mengarut ni! Tak adalah macam tu. Gila ke apa! Dia bukan pendampinglah, dia cuma... cumaa... erm, kira pendatang kot.” Natalia tersengih.
”Sebenarnya aku pernah nak buang dia, tapi tak berjaya. Ada-ada je halangannya. Last-last aku biarkan dia ikut aku. Lagipun dia tak menganggu pun, temankan aku yang kesunyian ni adalah..”
”Aku tak tahulah nak percayakan kau ke tak, sebab ni kali pertama aku dengar cerita kau ni.”

”Aku pun tak suruh kau percaya cerita aku ni, dahlah, jom tidur. Esok kau kata nak jalan-jalankan.” Natalia bangun untuk mematikan lampu. Cerita mereka tamat di situ sahaja, selepas itu, Natalia tidak pernah mengungkit lagi tentang lelaki itu.

0 comments: