CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 4

Esoknya, tanpa bertangguh Jurina berjumpa seorang lelaki yang dikatakan handal untuk membuang lelaki itu dari hidupnya. Dia tidak mahu digelar dukun atau bomoh, cukuplah dia hanya dikenali sebagai Tok Lat dan merupakan guru silat terkenal di kawasan silatnya.
“Apa dia ni nak buat.” Tanya lelaki itu setelah melihat Tok Lat membakar kemenyan dan memerah limau. Jurina menjeling, tiada riak-riak takut pun pada wajah lelaki itu. Tok Lat itu mengeluarkan keris dari bawah tempat duduknya.
“Hiarrrrkkkkkk!” Jurina turut menjerit kerana terlalu terkejut apabila Tok Lat itu langsung tidak memberi isyarat sebelum menjerit.
“Terkejut aku, bodoh punya Tok Lat. Lain kali beritahulah kalau nak kentut, tak payahlah nak jerit kuat-kuat nak cover kentut!” Lelaki itu mengusap dadanya perlahan. Kemudian dia memandang Jurina yang sedang menjelingnya tajam.
“Dia kentut!” Lelaki itu menunjuk Tok Lat pada Jurina. Jurina menepuk dahinya, nampaknya lelaki itu langsung tidak takut. Tok Lat mula berpencak silat, begitu khusyuk sehingga hampir-hampir terlanggar Jurina yang sedang elok duduk bersimpuh.
“Apa dia nak buat sebenarnya ni, tak faham!” Tanya lelaki itu semula kepada Jurina. Jurina menjengilkan matanya. Lelaki itu menutup mulutnya dengan jari sambil memuncungkan mulut.
“Salah bunga-bunga dia ni, sumbang habis!” Lelaki itu memberi komen. Tidak semena-mena lelaki itu berdiri dan mula bersilat dihadapan Jurina.
“Macam ni baru betul!” Lelaki itu tersenyum bangga sambil menunjukkan beberapa gerakan lagi. Tiba-tiba gerakan silatnya terkena kaki Tok Lat lalu membuatkan Tok Lat hilang keseimbangan dan akhirnya kepalanya terkena tiang. Terus Tok Lat pengsan betul-betul di hadapan Jurina membuatkannya tubuh Jurina melompat kerana terkejut. Lelaki itu juga turut terkejut. Kedua-duanya terbeliak sambil memandang ke tempat yang sama. “Opss!!” Lelaki itu menekup mulut.
Jurina panik, terus dia mengambil beg tangannya dan turun dengan tergesa-gesa. Tanpa menoleh ke belakang, Jurina terus memecut keretanya. Dia menarik nafas berulang-ulang kali untuk melegakan amarahnya yang memuncak. Lain yang diinginkan, lain pula yang jadi. Dia mahu menghalau lelaki itu dari hidupnya, sebaliknya Tok Lat itu pula yang pengsan.
Malam itu, dia berjumpa dengan dukun yang juga dikatakan terhandal sekali untuk membuang ‘benda-benda’ yang ‘melekat’ pada seseorang seperti kesnya.
Tiada apa yang berlaku ketika Jurina menceritakan apa yang terjadi pada dirinya. Lelaki yang mengekorinya itu juga duduk sama mendengar cerita Jurina dan sesekali mengangguk-angguk meniru gaya dukun dihadapan mereka membuatkan Jurina merasa bengang. Kali ini juga dia langsung tidak menunjukkan gaya ketakutan. Sesekali Jurina menjeling tajam ke arahnya. Lelaki itu pula hanya tersengih. Upacara dimulakan dengan dukun itu memberi salam.
“Salamku kepada penunggu langit, salamku kepada penunggu bumi, bersemukalah kamu untuk membantuku.” Aik, apa bagi salam pada penunggu langit dan bumi ni, ni dah pelik. Desis hati Jurina. Lelaki itu bersila dan tangannya diletakkan di atas lutut seperti orang mahu bertapa.
“Haji Yahya! Haji Yahya! Haji Yahya! Haji Yahya!” Haji Yahya mana pula ni, kenapa nama Haji Yahya? Kenapa tidak Haji Ali atau Haji Abu. Apa istimewanya Haji Yahya ini sehingga boleh membantu menghilangkan makhluk halus?? Arghhh! Dia sendiri tidak faham. Makin lama sebutan Haji Yahya itu semakin kuat sehingga menaikkan bulu roma Jurina. Makin lama kedengaran seperti jeritan kaum Red Indian mengelilingi unggun api yang biasa ditonton di televisyen. Wooowwooooo…. Jurina mencari lelaki itu. Dia melihat lelaki itu sedang mengelilingi unggun api yang entah datang dari mana di belakang dukun. Jurina mengurut kepalanya yang tiba-tiba merasa pening melihat kerenah lelaki itu yang langsung tidak takut akan perbuatan dukun yang dikatakan terhandal.
“Pakcik! Pakcik!!” Jurina memanggil dukun itu beberapa kali. Tiba-tiba tubuh dukun itu menggeletar hebat membuatkan Jurina merasa takut. Tubuh lelaki itu menjadi kekejangan pula seperti terkena sawan. Mulutnya berbuih-buih. Jurina menelan air liur. Kenapa pula pakcik ni? Jurina memandang ke kiri dan ke kanan sebelum membuka langkah seribu.
“Awimbawe.. Awimbawe..awimbawe..awimbawe…wee weeee wee weeeeee weeeee we  weeebombooommmm.” Lelaki itu menyanyi di sebelahnya dengan muka menjengkelkan, seperti mahu meraikan kemenangannya setelah Jurina tidak berjaya lagi menghalaunya. Jurina mengerling tajam. Tak guna punya hantu, ketawakan akulah tu! Nanti kau! Aku tak habis ikhtiar lagi tau tak! Nanti-nanti kau tahulah nasib kau.
Dua hari selepas itu, Jurina bertemu pula dengan Tok Mahang, kali ini dia pasti akan berjaya menghalaunya. Yeah!!! Setelah menceritakan sedikit sebanyak tentang masalahnya, Tok Mahang hanya mengangguk. Jurina tersenyum. Dukun kali ini nampak yakin, Jurina pasti dia akan mampu menghalau lelaki itu dari hidupnya untuk selama-lamanya..Hahahahaha… Gelak Jurina dalam hati. Dia menjeling lelaki itu yang elok duduk di antara Tok Mahang dan Jurina sambil turut mengangguk-angguk ketika Jurina menceritakan masalahnya. Tok Mahang memejamkan mata. Mulutnya berkumat-kamit namun langsung tidak didengari sebutir pun apa yang disebut. Setengah jam berlalu, Tok Mahang masih lagi berkumat-kamit membaca menteranya. Jurina mula merasa mengantuk kerana tidak berbuat apa-apa namun cuba ditahannya sedaya mungkin. Sejam berlalu, Tok Mahang masih begitu. Masuk kali ini, sudah hampir 50 kali Jurina menguap.
            Dua jam kemudian, Jurina terjaga apabila dia hampir tersungkur ke lantai kerana tertidur tanpa sedar. Dia mengelap air liur basinya. Dia menoleh mencari lelaki itu. Mak aih! Siap tidur berbantal, mana dia dapat bantal ni? Siap berdengkur tak tahan, hampeh punya hantu! Kau boleh tidur masa aku nak halau kau ye! Dilihatnya, Tok Mahang masih memejamkan mata sambil berkumat-kamit seperti mula tadi. Jurina menenyeh-nenyeh matanya yang masih mengantuk. Tak boleh jadi ni, mahu sehari suntuk aku tunggu dia habis baca. Dia memandang lelaki itu yang sedang enak nyenyak tidur dan Tok Mahang berulang kali. Otaknya mula berfikir ligat. Akhirnya dia tersenyum. Perlahan-lahan Jurina mengengsot keluar dan terus meninggalkan Tok Mahang dengan lelaki itu dengan senyap-senyap. Harapannya, lelaki itu akan menemui teman baru dan tidak akan menganggunya lagi.
“Huaarggghhh!!! Asal kau tak kejut aku sekali tadi?” Hampir terbabas kereta Jurina ke dalam semak apabila dia terkejut dengan kehadiran lelaki itu di sebelahnya secara tiba-tiba.
“Kau ni kan! Kurang nyawa aku sepuluh tahun. Jangan kejutkan aku dengan cara tu boleh tak!” Marah Jurina sambil mengusap-usap dadanya. Lelaki itu hanya menaikkan bahunya.
“Kenapa kau keluar senyap-senyap tak ajak aku sekali tadi. Aku pun bosan orang tu kumat-kamit tak tentu butir.” Jurina mendengus. Memang hajatnya mahu meninggalkannya di rumah itu, masakan mahu dikejutkan.
“Ke kau memang berhajat nak tinggalkan aku kat situ?” Lelaki  itu menaikkan keningnya. Jurina membuat muka toya. Malas mahu menjawab pertanyaannya.
“Well…aku tak akan tinggalkan kau untuk lelaki yang bosan. Kau lebih menghiburkan aku.” Lelaki itu membuat muka selamba sambil tersenyum sinis. Jurina menghantukkan kepalanya ke stereng beberapa kali. Nampaknya rancangannya gagal lagi!!
            Malam itu, Jurina mencari album gambar dan kain pelikat abangnya, Jufri yang selalu dipeluknya sebelum tidur di merata-rata tempat. Jurina merasa gelisah, itulah satu-satunya album yang mempunyai semua gambarnya dengan Jufri. Kain itu pula adalah kain terakhir yang dipakai Jufri sebelum dia meninggal dunia. Habis satu bilik diselongkarnya namun masih tidak berjumpa. Hampir menangis Jurina ketika itu. Dia cuba mengingati waktu terakhir dia melihat album tersebut. Dia cuba membayangkan. Semalam, sebelum tidur dia masih membelek dan memeluk album gambar itu dengan linangan air mata sebelum dia tertidur. Paginya, dia tidak perasan sama ada album itu masih ada atau tidak di sisinya namun dia masih ingat yang album itu tidak di bawanya keluar. Jika tidak di bawa keluar, pasti ada di sini. Ini mesti kerja hantu tu! Pasti dia yang menyorokkan album gambarnya. Jurina mencarinya di ruang tamu. Lelaki itu sedang membaca buku.
“Mana album gambar aku?” Tanya Jurina.
“Aku simpan!”
“Apa hak kau ambil barang aku! Pulangkan balik!” Tengkingnya dengan mata memerah menahan marah yang sedang mendidih di hatinya.
“Tak mahu!”
“Aku cakap aku nak album gambar aku balik!”
“Sampai bila kau nak hidup dalam kenangan lama. Aku nak kau teruskan hidup dan tak nak kau bersedih lagi. Aku tak tahan tengok kau bersedih tiap-tiap malam bila tengok album tu.”
“Arghhh… suka hati akulah  nak sedih ke, nak nangis ke, nak gelak ke.. aku nak album aku balik!” Tiba-tiba lelaki itu hilang dari pandangan.
“Woi!!!! Aku nak album gambar aku balik!!!!!” Jerit Jurina seorang diri. Kebengangannya sudah berada di tahap maksima. Dia benar-benar pasti dia mahu menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya secepat mungkin. SECEPAT MUNGKIN!!!
            Tanpa berlengah, esoknya Jurina berjumpa dengan seorang lelaki yang dikenalkan oleh rakan sekuliahnya. Itu pun setelah dia jenuh menelefon semua rakan kuliahnya bertanyakan tempat terbaik untuk berubat. Setelah mengetahui lokasi rumah lelaki itu, dia bergegas menuju ke sana. Tidak sabar benar dia mahu menghalau lelaki itu dari hidupnya.
“Sebenarnya pakcik..” Jurina memulakan mukadimah apabila dipersilakan masuk. Dilihatnya, rumah itu kosong dan nampak agak menyeramkan. Namun digagahkan juga demi mencapai cita-citanya.
“Boleh..boleh.. Pakcik tahu semuanya.. Pakcik tahu hajat kamu ke sini. Jangan risau, pakcik akan tolong kamu sedaya upaya.” Aik, aku tak beritahu apa hajat aku lagi, dia dah tahu. Ini memang betul-betul nampak macam pakar.
“Kalau macam tu, boleh saya tahu dulu berapa pengerasnya. Maklumlah, saya ni belajar lagi. Takut tak mampu bayar kalau banyak-banyak ni.”
“Oh.. Belajar lagi, tak apalah. Pakcik tolong secara ikhlas. Kamu tak payah bayar sesen pun. Pakcik ikhlas..” Pakcik itu tersenyum sambil menunjukkan giginya yang lopong di hadapan. Jurina menelan air liur. Menyeramkan! Tapi, demi  mengambil hati pakcik, Jurina turut tersenyum. Bagus! Lagi senang kerja aku.
“Pakcik masuk dululah, mahu siapkan air minuman. Rumah pakcik ni tak ada apa-apa. Teh O bolehkan?”
“Apa-apa pun tak apa pakcik..” Pakcik itu mengangguk sebelum masuk ke dalam.
“Keluar sekarang!” Tiba-tiba lelaki itu muncul di hadapannya. Jurina membuat muka toya. Dia masih lagi marah dengan peristiwa malam tadi.
“Aku cakap keluar sekarang!”
“Kau apahal nak suruh aku keluar ni! Suka hati akulah!”
“Kalau kau nak selamat, baik kau keluar sekarang sebelum terlambat!” Jurina berpura-pura tidak mendengar.
“Kau tahu tak, orang tua tu dah masukkan ubat tidur dalam teh kau. Tunggu masa je orang tua tu nak rogol kau, tahu tak!” Muka Jurina berubah. Ubat tidur? Rogol?
“Betul ke?”
“Lantak kau! Nak dengar ke tak nak ke terpulang. Kalau kau nak tidur dengan orang tua yang tak ada gigi tu silakan.. Aku ok je. Boleh tengok wayang free.” Cepat-cepat Jurina mencapai begnya dan keluar dari rumah itu. Terus dipecutnya kereta. Sewaktu dia memandang cermin pandang belakang, dia melihat pakcik itu mengejarnya dengan membawa secawan teh. Meremang bulu romanya apabila membayangkan yang dia bakal diperkosa lelaki tua tak sedar diri tu.
“Apa masalah kau! Kau tahu tak kau hampir nak kena rogol sebab perbuatan kau yang sia-sia ni!”
“Aku memang nak kau berambus dari hidup aku. Sebab kaulah aku hampir nak kena rogol tau tak!”
“Ooo.. sekarang kau nak tuduh aku penyebabnya pula!” Masing-masing tidak mahu mengalah.
“Memang, kaulah punca semua bencana ni berlaku, jadi apa kata kau berambus je dari hidup aku tanpa disuruh-suruh!”
“Aku takkan pergi dari hidup kau! Selagi aku tak tahu apa yang terjadi pada aku, aku akan melekat pada kau!” Sreettttttt! Bunyi brek kereta ditekan kedengaran. Jurina menoleh lelaki yang berada disebelahnya dengan pandangan yang jengkel.
“Kau ni kenapa, aku tak pernah kacau hidup kau masa kau hidup. Kenal pun tak, kenapa pula kau nak kacau hidup aku pula sekarang. Aku tak ada kena mengena dengan kau tau tak! Tak ada sebab kau nak melekat dengan aku, jadi sekarang aku nak kau berambus!!!”
“Kau buatlah apa saja untuk halau aku tapi aku takkan berganjak!”
“Eeee.. aku tak fahamlah kau ni. Entah hantu spesis apa entah! Tolong jangan ikut aku lagi boleh tak! Tolonglah bebaskan aku!”
“Kenapa aku kena tinggalkan kau, kau beri aku sebab?”
“Sebab kau tak diperlukan dalam hidup aku, kau tak ada kepentingan pun dalam hidup aku. Tu pun tak faham ke??”
Tok..Tok.. Tiba-tiba pintu kereta diketuk. Jurina dan lelaki itu serentak menjerit. Jurina menoleh, dia mengusap-usap dada. Mujur bukan pakcik tak ada gigi yang membawa teh itu tadi. Yang berada dihadapannya seorang lelaki berjubah putih yang agak berusia. Jurina menurunkan tingkap kereta separuh.
“Assalamualaikum…Boleh pakcik tanya, mana arah masjid?”
“Waalaikumsalam.. Ermm.. pakcik, saya bukan orang sini. Saya pun tak tahu.” Pakcik itu mengangguk.
“Tak apalah, pakcik tanya orang lain. Tapi, kenapa anak berdua ni macam bertengkar je?” Jurina memandang lelaki itu, begitu juga lelaki itu. Masing-masing terkejut.
“Pakcik boleh nampak saya?” Lelaki itu bertanya kehairanan. Pakcik itu mengangguk. Dia memandang Jurina.
“Ada sebab dia ada dengan anak sekarang ni. Biarlah dia mencari jawapannya sendiri, sampai masanya dia akan pergi sendiri.” Pakcik itu memberi nasihat, seolah-olah dia tahu masalah mereka berdua ketika itu. Jurina dan lelaki itu saling berpandangan.
“Tapi pakcik..” Jurina menoleh untuk bertanya. Tapi pakcik itu sudah ghaib membuatkan Jurina terpinga-pinga. Dia menjengah ke bawah dan ke belakang. Manalah tahu pakcik itu sengaja bermain sorok-sorok dengannya ke, namun puas dicari. Pakcik itu telah menghilangkan diri. Jurina menggarukan kepala. Macam chipsmorelah pakcik ni. Pelik betul, sekelip mata je hilang. Jurina keluar dari kereta. Begitu juga lelaki itu. Mereka mencari pakcik tadi, Jurina juga menjenguk ke bawah kereta. Manalah tahu pakcik itu membuang tabiat mahu bermain sorok-sorok dengan menyorok di bawah kereta pula. Tak ada..
“Ada pakcik tadi tu?” Jurina bertanya pada lelaki itu. Lelaki itu juga menggeleng. Pelik.. Sudahnya dua-dua menggaru kepala. Kemudian masing-masing terdiam.
“Entah-entah…” Serentak mereka bersuara. Jurina sudah menjerit ketakutan sebelum berlari masuk ke dalam kereta. Lelaki itu juga begitu, tidak cukup tanah dia berlari. Sebaik sahaja dihidupkan enjin kereta, terus dipecutnya menuju ke jalan besar. Dia langsung tidak berani memandang cermin pandang belakang. Lelaki itu juga hanya duduk diam di sebelahnya. Diam tidak berkutik. Wajahnya pucat sekali. Melihat keadaan lelaki itu membuatkan Jurina tidak dapat menahan gelak. Berdekah-dekah dia ketawa. Hilang sudah rasa takutnya tadi.
“Kau ni kenapa? Tadi jerit macam apa, sekarang ni ketawa macam orang gila pulak. Sewel ke?”
“Aku tak pernah pula tahu yang hantu ni sebenarnya takut juga dengan hantu yang lain. Pucat beb! Hahahaha…” Lelaki tadi menyumpah dalam hati. Gelakkan aku rupanya, kurang asam!
“Diamlah kau!” Marah lelaki itu dengan nada geram. Jurina pula masih menggelakkannya sehingga berair matanya menahan tawa. Langsung tidak teringat pertengkaran mereka tadi.

0 comments: